Sel Stem Penawar Penyakit

Oleh Zilfalil Alwi

Sel stem bukanlah suatu perkara yang asing dalam kehidupan manusia kerana sering dipromosikan menerusi iklan produk kecantikan dan makanan kesihatan. Produk ini digunakan oleh banyak orang dan keberkesanannya diakui. Mungkin, ada antara pengguna yang pernah mendengar tentang teknologi perubatan menggunakan sel stem dalam rawatan penyakit. Namun begitu, kejayaan sel stem dalam rawatan penyakit masih belum dibuktikan.

Tubuh manusia terdiri daripada pelbagai jenis sel. Setiap sel memainkan peranan yang berbeza-beza. Contohnya, sel peparu berfungsi menukarkan gas karbon dioksida kepada gas oksigen. Sel darah pula berfungsi mengangkut oksigen dan makanan kepada sel lain, seperti sel hati dan sel kulit.

Sekumpulan sel yang mempunyai fungsi yang sama pula bergabung untuk membentuk tisu, seterusnya membentuk organ manusia. Tubuh manusia juga memiliki sejenis sel yang sangat istimewa yang dikenali sebagai sel stem. Tidak seperti sel lain, sel stem ini dapat ditemukan hampir di semua organ manusia dan tidak terkumpul di suatu tempat sahaja. Sel stem juga dapat diibaratkan sebagai sel yang masih muda dan kekal dalam keadaan asal, hinggalah diperlukan bagi tujuan penggantian sel yang tua atau rosak.

Amnya, sel stem memiliki tiga ciri penting. Pertama, sel stem dapat membahagi bagi menghasilkan lebih banyak sel stem menerusi proses pembelahan sel. Kedua, sel stem tidak mempunyai fungsi yang spesifik. Ketiga, sel stem dapat kekal sebagai sel stem atau berkembang menjadi sel spesifik (sel dewasa) yang lain, seperti sel hati dan sel otak.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Genetik

Hantar Maklum Balas Anda