Ikan Pelaga Merak Air yang Unik

Oleh Zaki Ali

Pelaga terkenal dengan keindahan dirinya yang mampu mengeluarkan warna dengan corak yang sangat indah dan mengagumkan. Keindahan ikan ini dipamerkan dalam pelbagai cara. Suatu ketika dahulu penggemar ikan pelaga menanam bekas atau tempat ikan di dalam tanah. Permukaannya dibuka bagi tujuan pengudaraan. Ikan ini diletakkan di dalam lubang selama berminggu-minggu. Dalam masa yang sama, makanan seperti jentik-jentik dan makanan rumusan diberi. Setelah ditanam dengan sekitaran yang gelap dalam tempoh tertentu, ikan pelaga dikeluarkan.

Apabila ikan pelaga ini diadukan dengan ikan pelaga yang lain menggunakan bekas kaca, secara refleks ikan pelaga menjadi agresif dan aktif dengan menerbitkan warna dan corak yang garang. Ikan pelaga menggabungkan penyemarakan sirip ekor yang mengembang sepenuhnya. Warna corak dan sisik yang bersinar penuh menghasilkan warna yang unik dan mempesonakan.

Kini, apabila ikan pelaga dikomersialkan, peminat atau penternak ikan pelaga menginovasi cara pembiakannya dengan mengacukkan warna dan jenis. Kaedah sedemikian menghasilkan ikan pelaga yang lebih menarik dan cantik.

Ikan pelaga diibaratkan merak air yang unik. Antara keunikannya termasuklah tidak memerlukan alat pengudaraan untuk dipelihara, didapati di pelbagai perairan dan terdiri daripada pelbagai jenis. Berbanding dengan ikan daripada keluarga yang lain, ikan daripada keluarga Anabantids memiliki sejenis organ yang dikenali sebagai labirin yang membolehkannya bernafas di permukaan air menggunakan udara dari luar bagi menampung keperluan oksigennya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 5 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda