Merealisasikan Teknologi Telepati

Oleh Mohd Syukri Anwar

Dahulu, ahli psikologi merupakan pakar yang mampu mengetahui perkara yang sedang difikirkan dalam minda seseorang. Pakar ini menggunakan kemahiran yang dimilikinya untuk menganalisis, seterusnya menetapkan satu set kesimpulan tentang diri dan fikiran orang itu.

Kemahiran ini perlu dipelajari dan memerlukan tempoh yang lama untuk menguasainya. Malah, mungkin kesimpulan yang diberi tidak setepat gambaran yang ada dalam minda orang itu. Namun begitu, seiring dengan perkembangan masa, seorang ahli psikologi itu mampu memilih hipotesis yang paling tepat, seterusnya bergelar pakar psikologi.

Kini, minda dapat dibaca dan digambarkan dalam bentuk tayangan video. Hal ini dilakukan menggunakan mesin pengimbas, seperti mesin pengimejan resonans magnetik (MRI). Subjek hanya perlu duduk di dalam mesin ini dalam suatu tempoh tertentu. Biasanya tempoh ini agak lama. Mesin ini pula berfungsi bagi mengimbas objek yang dilihat oleh subjek.

Objek yang dilihat pula perlu disediakan terlebih dahulu. Malah, kedudukan subjek di dalam mesin ini perlu pegun. Sambil itu, suatu bintik hitam perlu direnung oleh subjek. Pada tahap ini, pencapaian dunia sains sekadar mampu membaca minda seseorang menggunakan kaedah yang terhad dan sukar seperti ini.

Walau bagaimanapun, suatu hari nanti, setelah teknologi membaca minda ini dikuasai, mesin yang mampu berhubung dengan otak manusia dapat dicipta. Mesin ini dapat memudahkan diagnosis dan pencarian maklumat penting yang hilang, terutamanya pada pesakit yang hilang ingatan, nyanyuk atau koma.

Selain itu, pesakit yang tidak berupaya bergerak, seperti pesakit yang lumpuh atau kehilangan anggota disebabkan oleh amputasi atau kecacatan kongenital, dan pesakit palsi serebral mampu dibantu menggunakan mesin ini. Bantuan ini berlaku apabila mesin ini membaca minda pesakit dan melakukan tugas yang difikirkannya.

Malah, pada tahap yang lebih tinggi, teknologi ini dapat diintegrasikan dalam minda manusia. Hasilnya, setiap komunikasi yang berlaku antara setiap orang dimudahkan tanpa melibatkan pertemuan dan pergerakan anggota badan, terutamanya mulut dan tangan.

Akhirnya, kemahiran telepati, iaitu komunikasi menggunakan fikiran dalam perhubungan antara dua pihak bukanlah suatu yang sukar dikuasai. Sebaliknya, dengan teknologi, setiap orang boleh memiliki kemahiran ini menggunakan teknologi telepati pada masa hadapan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda