Perenjak Belukar Si Tukang Jahit

Oleh Jasmi Abdul

Perenjak belukar atau Orthotomus atrogularis atau burung Cheninit atau Dark-necked Tailorbird ialah satu daripada spesies burung liar yang biasa dilihat di sekitar rumah, taman bunga, belukar dan dusun buah serta kawasan tanaman, seperti ladang getah dan kelapa sawit. Spesies ini tergolong dalam keluarga Sylviidae. Burung perenjak belukar mempunyai tubuh yang kecil. Panjang burung ini adalah antara 10 – 12 sentimeter.

Ekor perenjak belukar kecil, tirus dan hampir sama panjang dengan panjang badannya. Bulu kepak burung ini berwarna coklat kehijau-hijauan. Bulu pada bahagian perut dan bawah ekornya berwarna kelabu kotor. Bulu pada bahagian atas kepalanya pula berwarna perang. Ada bulu berwarna hitam di bawah leher burung perenjak belukar jantan. Walau bagaimanapun, bulu berwarna hitam ini tidak ada pada burung perenjak belukar betina.

Kaki perenjak belukar yang panjang memudahkannya melompat dari dahan ke dahan untuk mencari serangga. Pokok pula dapat dipanjat secara menegak ketika makanan dicari oleh burung ini. Bunyi yang agak nyaring, iaitu “chip, chip, chip, chip” atau bunyi yang laju dan panjang, iaitu “tat, tat, tat, tat, tat” dikeluarkan ketika pasangannya dipanggil atau ketika berada dalam ketakutan.

Burung perenjak belukar dapat ditemukan di kawasan yang pernah diterokai oleh manusia. Burung kecil ini mudah ditemukan di kampung, taman perumahan, taman bunga, dusun buah atau tanaman, belukar dan pinggir hutan sekundar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda