Produk Herba Makanan atau Ubat?

Oleh Chua Hun Pin

Makanan sering dikaitkan dengan tahap kesihatan manusia. Hal ini selari dengan falsafah asas yang dilafazkan oleh Hippocrates pada tahun 400 SM, iaitu “Biarkan makanan menjadi ubat dan ubat menjadi makanan”. Falsafah makanan sebagai ubat dijadikan asas bagi pembangunan produk makanan yang berunsurkan penjagaan kesihatan atau nutraseutikal pada zaman moden ini.

Tumbuhan herba mengandungi pelbagai jenis bahan fitokimia aktif yang merangkumi metabolit sekunder, seperti flavonoid, alkaloid, glikosida dan steroid. Oleh sebab itu, lazimnya tumbuhan herba digunakan sebagai ramuan utama dalam pembangunan produk makanan dan produk farmaseutikal.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (USFDA), makanan ditakrifkan sebagai bahan yang digunakan secara asasnya untuk memperoleh rasa, aroma dan khasiat zat makanan. Apabila produk herba disediakan dalam bentuk makanan, ramuan herba ditambah hanya sebagai perasa atau rempah bagi menambahkan aroma.

Dalam konteks ini, ramuan herba tidak digunakan sebagai terapeutik dan dirujuk sebagai ramuan botani. Produk hasilan pula dirujuk sebagai produk botani. Di Malaysia, produk makanan dikawal di bawah Akta Makanan dan Peraturan-peraturan oleh Bahagian Kawalan Mutu Makanan (BKMM).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Pemakanan

Hantar Maklum Balas Anda