Sengketa Udang Galah

Oleh Suhairi Alimon

Hierarki berasal daripada perkataan Greek, iaitu hierarchia yang merujuk susunan perkara, seperti objek, nama, nilai dan kategori berdasarkan urutan. Contohnya, atas – bawah – sama taraf. Hierarki juga ialah susunan secara langsung atau tidak, dan secara menegak atau melintang. Susunan ini berdasarkan keutamaan, iaitu lebih penting – kurang penting, lebih tua – lebih muda.

Dalam populasi haiwan, fenomena hierarki dipercayai wujud sejak kewujudan haiwan dan berterusan hingga kiamat. Sistem hierarki dalam kelompok haiwan sangat penting. Hal ini dikatakan demikian kerana peranan atau tugas individu dalam kumpulan ini dilambangkan menerusi sistem ini. Sistem ini juga diibaratkan mekanisme klasik yang mengekalkan kemandirian suatu spesies.

Biasanya, ketua kelompok menjadi pengawal atau penyelamat kumpulan daripada gangguan kelompok lain. Contohnya, ketua populasi kera mendahului anak buahnya ketika bergerak dan ketika menghadapi musuh. Sebaliknya, ketua populasi menjadi individu terakhir yang meninggalkan kawasan ketika berundur.

Ketua populasi dapat wujud secara tabii yang terancang menerusi pemberian nutrien tertentu supaya dapat menjadi raja, permaisuri, pekerja dan soldadu, seperti dalam kumpulan lebah. Ketua juga dapat wujud setelah satu pertempuran fizikal yang ganas berlaku antara dua individu yang berebut menjadi penguasa. Hal ini mungkin berlaku antara dua individu berlainan atau antara pencabar dengan ketua yang sedia ada. Pertempuran ini ganas dan kejam. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak yang kalah luka dan patah. Malah, yang kalah ini kerap mati.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Bil 6 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Hantar Maklum Balas Anda