Punai Tanah Suka Menyendiri

Oleh Jasmi Abdul

Burung punai tanah atau Chalcophaps indica atau Rimbok atau Emerald Dove tergolong dalam keluarga Columbidea, iaitu sekeluarga dengan burung punai, merbuk atau tekukur. Burung punai tanah dikenali dengan nama ini kerana kelakuannya yang mencari makanan di atas tanah, tidak seperti spesies punai lain yang mencari makanan di atas pokok.Punai tanah mendiami kawasan hutan tanah pamah, ladang getah atau kelapa sawit dan dusun buah. Burung ini dapat dikenali dengan cara terbangnya yang laju, mendatar dan rendah serta melintasi kawasan dusun buah.

Warna bulu kepak punai tanah hijau tua berkilat. Warna bulu pada bahagian bahunya pula coklat kemerah-merahan. Warna ekor punai tanah berwarna kelabu gelap. Ada sedikit bulu berwarna putih pada bahagian atas mata burung ini. Paruh dan kaki punai tanah pula berwarna merah jambu.Burung punai tanah jantan gemar berbunyi untuk memanggil burung punai tanah betina. Bunyi ini nyaring, dalam dan bersahut-sahutan, iaitu “uuuut, uuuut, uuuut, uuuut” berulang-ulang. Apabila berbunyi, bahagian pangkal leher burung punai tanah jantan menggelembung hingga besar. Bunyi ini dapat didengari di kawasan dusun atau hutan, terutamanya pada waktu awal pagi dan lewat petang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Julai 2015

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda