ALGA ALTERNATIF BAHAN API

Oleh Mohd. Syukri Anwar

Perlumbaan mencari alternatif bahan api ibarat perlumbaan jet terbang di udara. Jet yang terbang dengan sangat pantas ini mencerminkan keterujaan setiap penyelidik untuk dinobatkan sebagai pemenang perlumbaan. Aktiviti memintas dan dipintas merupakan suatu perkara biasa bagi ahli penyelidik. Bagi penyelidik yang dipintas, usaha perlu digandakan supaya tidak terus berada di belakang. Bagi penyelidik yang memintas pula, usaha juga perlu digandakan supaya dapat terus kekal berada di hadapan.

Dahulu, bahan api mungkin tidak sepenting pada zaman ini. Tidak banyak keperluan bahan api pada masa itu. Kini, bahan api diibaratkan sebagai udara yang perlu ada dalam kehidupan harian setiap manusia. Tanpa bahan api, kehidupan manusia sengsara kerana tidak mampu bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Pertumbuhan ekonomi pula sedikit terencat apabila bahan api berkurang.

Malaysia antara negara pengeluar minyak yang dapat memenuhi keperluan bahan api di negara sendiri. Secara logiknya, Malaysia tiada masalah dari segi sumber bahan api. Namun begitu, dengan keperluan bahan api yang meningkat, sumber bahan api yang lain perlu dicari. Malah, disebabkan oleh bahan api ini bersumberkan tinggalan fosil yang tidak lagi mampan, sumbernya makin berkurang.

Selain itu, bahan api yang digunakan ini turut menghasilkan pencemar yang merosakkan alam sekitar. Gas karbon monoksida yang dibebaskan apabila pembakaran tidak lengkap berlaku dapat menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuklah masalah dari segi sistem pernafasan.

Oleh sebab itu, bagi mengatasi masalah ini, sumber bahan api yang mesra alam dan dapat dibaharui dicari. Pelbagai biodiesel, iaitu bahan api yang dihasilkan daripada tumbuhan cuba dihasilkan menerusi eksperimen di makmal dan pengujian di lapangan.

Satu daripada perkembangan penyelidikan terkini ialah penemuan biodiesel yang dihasilkan daripada alga. Alga yang dapat hidup di kawasan air masin dan air tawar termasuk dalam kumpulan kepelbagaian terbesar di dunia. Walaupun bersaiz kecil, potensi alga sebagai pengganti bahan api besar.

Menerusi kajian yang dilakukan, alga mampu menghasilkan minyak hingga 10 ribu gelen sehektar berbanding dengan kelapa sawit yang hanya menghasilkan 635 gelen minyak sehektar. Dengan perbezaan yang sangat ketara ini, pastilah alga bakal menjadi satu industri yang diimpikan oleh setiap pengeluar minyak, seterusnya membuka satu lembaran baharu dalam penerokaan biodiesel atau pengganti bahan api.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2015

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda