PEKAKA DADA PUTIH TIDAK BANYAK MUSUH

Oleh Jasmi Abdul

Pekaka dada putih (White-Breasted Kingfisher) ialah satu daripada lima spesies burung pekaka atau burung raja udang yang ada di Semenanjung Malaysia. Empat spesies yang lain ialah pekaka muncung tebal, pekaka kecil, pekaka leher putih dan pekaka cit-cit.

Burung pekaka dikategorikan dalam kelompok burung liar yang bergantung pada kawasan tanah lembap untuk pencarian makanan. Semua jenis burung pekaka makan secara menyambar. Makanannya terdiri daripada ikan dan serangga.

Burung pekaka selalu dilihat di kawasan yang berair, seperti tepi sungai, sawah padi, tali air, tepi pantai dan kawasan lombong tinggal. Pekaka dada putih dikenali berdasarkan bulu pada bahagian dadanya yang berwarna putih dan bulu kepaknya yang berwarna biru.

Bulu pada bahagian leher, kepala dan perut pekaka dada putih pula berwarna coklat kemerah-merahan. Paruh burung ini tebal dan tajam serta berwarna coklat kemerah-merahan. Apabila terbang, burung ini berbunyi kuat dan nyaring, iaitu kek, kek, kek, kek, berulang-ulang. Apabila hinggap di dahan kayu, kepalanya diangguk-anggukkan.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik September 2015

Hantar Maklum Balas Anda