KEDIAMAN KEDUA?

Penerokaan dan penjelajahan dunia bagi tujuan pencarian penempatan baharu untuk dijadikan sebagai kawasan kediaman ialah usaha yang dilakukan oleh manusia sejak dahulu lagi. Hal ini merupakan fitrah normal manusia apabila kepadatan kawasan sedia ada meningkat dan dirasakan tidak mampu lagi menampung pertambahan penduduk.Begitu juga, penerokaan dan penjelajahan dilakukan apabila kawasan sedia ada dilihat tidak lagi sesuai didiami disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara faktor ini termasuklah pencemaran alam, kehabisan sumber asas serta perlumbaan dari segi penguasaan dan penaklukan.

Apabila alam berada pada tahap tepu, tiada lagi tempat yang sesuai diterokai atau dijelajahi. Ketepuan alam bermakna alam dipenuhi dengan ekosistem yang tidak lagi mampu beradaptasi, walaupun sebarang aktiviti atau usaha penyelamatan alam dilakukan. Hal ini termasuklah penyesuaian dan pembetulan yang cuba dilakukan oleh manusia. Secara contohnya, konsep hijau yang meliputi teknologi hijau, industri hijau, infrastruktur hijau, kenderaan hijau dan tingkah laku hijau. Kini, pencapaian manusia banyak tertumpu pada teknologi hijau. Konsep hijau yang lain, mungkin memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk diteroka dan dimulakan dengan giatnya. Namun begitu, usaha ini masih perlu diteruskan supaya alam tidak tepu sebelum masa yang sepatutnya.

Langkah alternatif selain penumpuan yang diberikan terhadap alam ini ialah pencarian dan penerokaan alam yang lain. Alam yang lain ini bermaksud planet selain Bumi yang manusia diami pada hari ini. Walaupun kedengaran agak mustahil, hal ini dibuktikan sebaliknya oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Pada bulan Januari 2015, sebanyak 1013 eksoplanet dalam 440 sistem peredaran bintang masing-masing, dengan 3199 buah planet menanti untuk disahkan, direkodkan oleh Kepler. Kepler ialah peninjau angkasa yang berfungsi untuk mencari eksoplanet yang menyerupai Bumi dan mengorbit bintang masing-masing.

Berdasarkan data yang dicerap oleh Kepler pada bulan November 2013, mungkin ada 40 bilion planet bersaiz Bumi yang mengorbit bintang masing-masing dalam jarak yang sesuai untuk hidupan. Sebanyak 11 bilion planet yang direkodkan mungkin mengorbit bintang yang menyerupai Matahari. Oleh sebab itu, menerusi pencapaian ini, tidak mustahil suatu hari nanti, kediaman manusia di luar Bumi dapat dijadikan sebagai kenyataan dan bukan khayalan atau fiksyen dalam filem semata-mata.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda