RAPANG DUIT BERBUNYI RIUH

Rapang duit (Vanillus indicus), atau Red-Wattled Lapwing, ialah satu daripada spesies burung liar yang mudah ditemukan di kawasan tanah lapang, lombong tinggal dan paya rumput. Spesies ini digolongkan dalam keluarga Charadriidae dan dikatakan sebagai burung tempatan kerana membiak di Malaysia.

Burung rapang duit mempunyai warna yang menarik, iaitu merah, hitam, putih, kelabu dan kuning. Bulu pada bahagian atas kepaknya berwarna coklat kelabu. Bulu pada perutnya pula berwarna putih. Bulu pada bahagian kepala dada dan lehernya berwarna hitam. Bulu pada bahagian tepi kepaknya berwarna hitam.

Sementara itu, ada bulu berwarna putih di kedua-dua belah pipi rapang duit. Kaki burung ini panjang dan berwarna kuning. Ada warna merah menyala dari bahagian sisi mata hingga separuh muncungnya. Bahagian hujung muncung burung ini pula berwarna hitam. Warna antara burung jantan dengan burung betina rapang duit tidak banyak beza, melainkan burung jantan bertubuh lebih besar dan mempunyai warna yang lebih garang.

Biasanya, rapang duit suka berkawan dan berpasangan. Burung ini berbeza daripada spesies burung rapang yang lain, seperti burung rapang keruit, yang tergolong dalam burung berhijrah yang mencari makanan di kawasan berlumpur atau kawasan tanah lembap yang ada di Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda