BAHAN LETUP-LETUP ANTIBAKTERIA

Buah markisa (Passiflora edulis) sejenis buah hutan tropika yang mempunyai banyak khasiat. Buah yang dikenali sebagai passion fruit di seluruh dunia ini terbukti mendapat tempat dalam dunia komersial. Kehebatan buah ini dirungkai rahsianya oleh ahli sains dan penyelidik serta diangkat sebagai antara buah yang sangat bernilai.

Selain rasanya yang sedap apabila diminum, buah markisa kaya dengan antioksidan, serat, garam mineral dan vitamin yang penting dalam kehidupan harian. Penanaman secara komersial menjadikan buah ini mudah didapati di negara Barat. Buah yang dihasilkan dapat dijadikan sebagai jus, jem atau jeli selain disajikan sebagai salad buah.

Setiap ahli keluarga Passifloraceae memiliki kehebatan yang setanding antara satu dengan yang lain. Passiflora edulis, Passiflora quadrangularis dan Passiflora ligularis, antara tumbuhan yang ditanam untuk memperoleh buahnya. Passiflora incarnata pula ditanam untuk memperoleh etnobotaninya, iaitu untuk penghasilan sedatif. Namun begitu, dari pelbagai genus dan subgenus keluarga Passifloraceae ini, hanya Passiflora edulis yang memiliki kelebihan dari aspek ekonomi.

Ada satu lagi spesies daripada keluarga buah markisa yang sering dianggap sebagai tumbuhan rumpai yang tidak digemari oleh masyarakat. Passiflora foetida atau pokok letup-letup mudah didapati di hutan belukar Malaysia. Pokok ini sejenis tumbuhan menjalar yang selalu ditemukan di kawasan belukar yang berhampiran dengan kediaman penduduk. Walaupun dikategorikan sebagai tumbuhan menjalar, sulur pautnya dapat digunakan untuk memanjat sesuatu benda.

Passiflora foetida berasal daripada Amerika Selatan. Tumbuhan ini tertumpu di kawasan lembap. Kelembapan kawasan tropika di Australia, Hawaii (dikenali sebagai lani wai atau pohāpohā) dan Fiji (dikenali sebagai loliloli ni kalavo) sesuai untuk pembiakan tumbuhan ini. Pokok letup-letup ini turut banyak ditemukan di India, Jepun dan China (dengan nama yang berbeza-beza).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda