KEUNIKAN BUNGA RAFFLESIA

Bunga Rafflesia tidak asing dalam kalangan ahli botani di seluruh dunia. Bunga ini juga dikenali sebagai antara bunga yang paling berharga yang ada di dunia. Bunga Rafflesia ialah tumbuhan berbunga tunggal yang terbesar di dunia dan hanya dapat ditemukan di beberapa tempat di dunia ini.

Bunga Rafflesia diperkenalkan dalam dunia saintifik oleh Sir Stamford Raffles (Gabenor Syarikat India Timur), Lady Sophia Raffles dan Dr. Joseph Arnold (naturalis dan ahli fizik) apabila bunga ini ditemukan pertama kali pada tahun 1818 di Bengkulu, Sumatera, Indonesia.

Bunga yang ditemukan ini dikenali sebagai Rafflesia arnoldii, iaitu bersempena dengan nama penemunya. Tumbuhan ini dikatakan sebagai antara tumbuhan yang paling unik yang ada di dunia. Tumbuhan ini juga hanya dapat ditemukan di kawasan hutan hujan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Hutan hujan tropika ialah kediaman pelbagai jenis tumbuhan menarik untuk dikaji selidik, selain menjadi tatapan pelancong.

Bunga Rafflesia ialah tumbuhan parasit yang hidup menumpang di pokok lain. Hal ini bermakna makanan dan nutrien tumbuhan ini diperoleh daripada perumahnya. Dari segi fizikal, bunga ini tidak mempunyai daun dan klorofil yang biasanya digunakan oleh kebanyakan tumbuhan untuk proses fotosintesis bagi penghasilan makanan. Bunga Rafflesia juga tidak berakar untuk tujuan penyerapan air.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, November 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

Hantar Maklum Balas Anda