PENCETUSAN PENYUSUAN IBU ANGKAT

Pencetusan penyusuan ibu bukan perkara mudah bagi wanita yang bergelar ibu angkat dan mahu menyusukan anak angkat mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu angkat ini tidak pernah hamil atau melahirkan anak. Oleh sebab itu, bagi wanita yang tidak pernah hamil atau melahirkan anak, proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari tidak berlaku. Namun begitu, hal ini bukan penghalang penghasilan susu ibu bagi penyusuan anak angkat.

Selain menjadikan anak angkat itu mahram bagi kedua-dua ibu bapa angkat, penyusuan anak angkat juga memberikan makanan yang terbaik kepada bayi. Hal ini dikatakan demikian kerana susu ibu ialah susu terbaik untuk tumbesaran yang sihat.

Menurut Dr. Jack Newman dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers, susu formula bukan pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula ialah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu susuan.

Di samping itu, dalam agama Islam, setiap ibu yang melahirkan anak digalakkan untuk menyusukan anak dengan susu ibu sehingga anak itu berusia dua tahun. Bagi ibu angkat, pengambilan ubat atau bantuan rawatan untuk perangsangan penghasilan susu ibu bagi penyusuan anak angkat diharuskan. Namun begitu, ubat yang diambil mestilah tidak mengandungi unsur najis atau mudarat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2015.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Kesihatan

Hantar Maklum Balas Anda