KUANG CERMIN HIDUP DI TANAH TINGGI

Burung kuang cermin (Polypectron inopinatum) atau Rostchild Peacock Pheasant ialah spesies burung kuang yang ada di Malaysia, tetapi sangat sukar ditemukan. Burung ini spesies kuang yang elusif seperti burung kuang gunung (Renarthia ocellata).

Kuang cermin digolongkan dalam keluarga Phesanidae. Spesies ini hanya ditemukan di altitud yang tinggi, iaitu pada ketinggian lebih kurang 1300 meter dari paras laut. Burung ini dapat ditemukan di permatang Gunung Pine Trees di Bukit Fraser, Pahang pada ketinggian lebih kurang 1300 meter dari paras laut.
Spesies ini juga ditemukan di Cameron Highland, Banjaran Gunung Tahan dan Bukit Larut, Perak. Saiz tubuhnya hampir sama dengan burung merak pongsu (Polypectron malacensis), tetapi ekornya lebih panjang dan tidak mempunyai jambul seperti yang ada pada burung merak pongsu jantan.
Warna bulu kepak kuang cermin coklat keperang-perangan. Warna bulu pada bahagian dada dan perutnya gelap. Ada tompok berwarna biru tua sebesar duit syiling lima sen pada bahagian bulu kepaknya. Ekornya panjang dan berwarna coklat kemerah-merahan. Ada banyak tompok halus berwarna putih pada bahagian atas ekornya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Disember 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda