HELANG SIKAP SUKA BERSEMBUNYI

Helang sikap (Accipiter trivirgatus) atau Crested Goshawkialah satu daripada spesies helang bertubuh kecil yang mudah ditemukan di kawasan kampung, dusun buah dan pinggirhutan. Spesies ini digolongkan dalam keluarga Accipitridae.
Warna bulu kepak helang sikap ialah coklat kemerah-merahan, manakala bulu pada bahagian perutnya berlorek putih dan berwarna coklat. Bulu pada bahagian kepalanya berwarna kelabu gelap. Panjang keseluruhannya antara 40 sentimeter hingga 46 sentimeter dan beratnya antara 224 gram hingga 450 gram.
Helang sikap mempunyai jambul kecil pada bahagian belakang kepalanya. Matanya berwarna kuning, manakala anak matanya berwarna hitam. Paruhnya tajam dan bahagian hujung paruh atasnya pula membengkok ke bawah. Kukunya yang tajam membolehkannya mencengkam mangsa dengan kuatnya.
Apabila terbang, helang sikap seperti meluncur di udara. Ada kalanya, burung ini terbang dengan meniru atau membuat “mimik” burung tekukur, iaitu mengepak-ngepakkan sayapnya seolah-olah berlabuh di udara ketika terbang dan kemudian meluncur laju ke destinasinya.
___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Oktober 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda