BUMI BERGERAK SONGSANG

Kiamat dan kehancuran Bumi ialah isu yang sering didebatkan. Isu ini tidak pernah terhenti hinggalah kiamat benar-benar berlaku. Pelbagai tanda besar dan tanda kecil kiamat cuba dibuktikan menerusi kajian sains dengan bantuan pelbagai peralatan canggih.
Dalam hal ini, ada tanda yang benar-benar dapat dibuktikan dan ada tanda yang sukar dibuktikan kerana melampaui tahap pemikiran dan keupayaan manusia. Namun begitu, ahli sains sentiasa teruja dan tidak pernah berputus asa serta berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama yang dapat membuktikan isu ini.
Antara tanda kiamat ini termasuklah Matahari terbit dari barat. Apabila Marikh dilihat terbit dari barat dan tenggelam di timur, masyarakat menganggap bahawa hal yang sama dapat berlaku kepada Matahari. Hal ini mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat kerana menganggap bahawa kiamat hampir berlaku. Walaupun tidak dinafikan bahawa kiamat memang hampir berlaku berlandaskan hadis nabi, maksud hampir ini tidak dapat ditafsirkan dengan tepatnya berdasarkan hitungan masa manusia.
Fenomena Marikh bergerak songsang ini bukanlah tanda bahawa Matahari akan terbit dari barat. Hal ini dikatakan demikian kerana Marikh tidak pernah dan tidak bergerak songsang. Sebaliknya, Marikh mengorbit Matahari pada laluannya ke arah hadapan. Yang sebenarnya, Marikh hanya dilihat bergerak songsang dan bukannya benar-benar bergerak songsang. Hal ini dapat dijelaskan menerusi ilusi optik dan gerakan songsang.
Selain Marikh, planet lain, iaitu Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun juga dilihat bergerak songsang. Musytari dilihat bergerak songsang dalam tempoh 121 hari pada setiap 13.1 bulan. Zuhal dilihat bergerak songsang dalam tempoh 138 hari pada setiap 12.4 bulan. Uranus dilihat bergerak songsang dalam tempoh 151 hari pada setiap 12.15 bulan. Neptun dilihat bergerak songsang dalam tempoh 158 hari pada setiap 12.07 bulan.
Berdasarkan kefahaman terhadap gerakan songsang ini, Bumi juga dikatakan dilihat bergerak songsang dari dahulu lagi. Namun begitu, tiada sesiapa yang pernah melihatnya melainkan seseorang itu perlu berada di Utarid dan Zuhrah untuk melihat Bumi bergerak songsang. Persoalannya, berpeluangkah manusia ke Utarid dan Zuhrah untuk melihat fenomena ini?

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2016.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

Hantar Maklum Balas Anda