PANDAN ANTIBAKTERIA

Pandanus amaryllifolius atau pokok pandan sejenis tumbuhan tropika. Pokok ini satu daripada hampir 600 jenis pokok pandan daripada genus Pandanus yang didapati di negara Asia Tenggara. Secara biasanya, daun pandan digunakan dalam masakan, untuk menanak nasi lemak, menyediakan adunan kuih bakar dan sebagai bunga rampai untuk majlis perkahwinan. Daun pandan popular disebabkan oleh aroma yang dihasilkannya.

Aroma wangi daun pandan dihasilkan daripada sebatian kimia yang menghasilkan bau yang unik dan tersendiri. Bau ini dihasilkan apabila sebatian ini meruap dan molekulnya sampai ke sistem olfaktori, iaitu sistem yang membolehkan manusia menghidu. Sebatian ini juga perlu berada dalam kepekatan yang mencukupi untuk membolehkannya dikesan oleh sistem olfaktori.

Sebatian kimia ini ialah 2-asetil-1-pirolin. Sebatian ini memberikan aroma yang membangkitkan selera apabila dimasak. Selain 2-asetil-1-pirolin, ada juga sebatian kimia lain, seperti 3-metil-2-(5H)-furanon, 3-heksanol, 4-metilpentanol, 3 -heksanon dan 2-heksanon.

Oleh sebab daun pandan memiliki rasa yang unik dan kuat serta ada kelebihan dari segi aroma daun ini digunakan dalam pelbagai jenis masakan Asia, terutamanya di Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, Myanmar dan India. Ada pelbagai cara penggunaan daun pandan dalam masakan. Antaranya termasuklah sebagai pembalut ketika memasak dan menambahkan daun pandan dalam masakan. Bagi mendapatkan warna hijau dalam masakan, pandan dikisar, kemudian diperah untuk menghasilkan cecair.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda