KULIT BUAH NAGA MERAWAT AIR SISA

Buah naga ialah buah tropika. Buah ini tergolong dalam keluarga Cactaceae (spesies kaktus), yang dikenali sebagai pitaya atau pitahaya. Berasal dari Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan, kini, buah naga ditanam secara meluas sebagai tanaman buah-buahan di Asia Tenggara, seperti Vietnam, Taiwan, Filipina dan Malaysia. Kadar pengeluaran buah naga secara komersial adalah antara 16 ribu hingga 27 ribu kg/ha setiap tahun di Malaysia dan Taiwan, manakala antara 18 ribu hingga 22 ribu kg/ha di Sri Lanka.

Ada tiga jenis buah naga. Buah naga yang terkenal ialah Hylocerus undatus yang berisi putih dan Hylocerus polyrhizus yang berisi merah jambu keungu-unguan.

Kulit buah naga (DFP) dipercayai kaya dengan pektin, iaitu polisakarida struktur heterogen yang mengandungi α-1,4 asid D-galakturonik (D-GalA). Lendir yang terdiri daripada asid galakturonik biasanya agen penggumpalan aktif utama dalam lendir kaktus tanpa mengambil kira spesies. Oleh sebab itu, kulit buah naga dipercayai mempunyai keupayaan koagulan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap kaktus.

Pada dasarnya, proses rawatan air sisa menyamai proses rawatan air biasa, iaitu menerusi proses rawatan biologi, rawatan fizikal dan kimia (fizikokimia). Proses pengentalan (koagulan) penggumpalan ialah contoh rawatan fizikokimia yang mendapat perhatian kerana kecekapan penyingkiran bahan kimia terlarut dan kekeruhan air sisa menerusi penambahan koagulan kimia konvensional, iaitu alum, ferik klorida dan polialuminium klorida (PAC).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Bioteknologi

Hantar Maklum Balas Anda