LAKI PUKUL BINI MERAWAT PENYAKIT

Sejak belakangan ini, ada banyak kes keganasan atau penderaan rumah tangga, iaitu isteri dipukul oleh suami. Namun begitu, di alam flora Nusantara, nama laki pukul bini merujuk pokok renek berkayu, iaitu Hibiscus mutabilis. Namanya unik kerana mempunyai jalan cerita yang tersendiri. Namun begitu, nama ini ada kaitan dengan kes jenayah domestik kerana dapat diterangkan menerusi fakta saintifik yang menarik.

Pokok laki pukul bini dapat tumbuh mencapai ketinggian lima meter, serta mempunyai banyak cabang dan permukaan yang berbulu halus. Daunnya bertangkai panjang dan helaian daunnya mempunyai antara tiga hingga lima lobus atau cuping yang teratur berbentuk tangan. Kedua-dua permukaan daun berbulu halus dan lebih lebat pada permukaan bawahnya.

Saiz bunga laki pukul bini agak besar dengan diameter antara 10 cm hingga 12 cm apabila kembang dengan petal yang berlapis-lapis yang berubah warna daripada putih pada waktu pagi kepada merah tua atau merah jambu pada lewat petang. Buahnya jenis kapsul. Apabila kering, buah ini merekah dan membebaskan biji kecil yang berbulu putih.

Pokok ini dipercayai berasal dari China dengan nama tempatan mu fu rong hua. Kini, pokok ini tersebar menerusi penuaian ke serata kawasan tropika, termasuklah Asia Tenggara. Nama lain bagi pokok ini ialah botan, mati laki mati bini atau bunga waktu besar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik, Januari 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda