VAKSIN HASILAN KULTUR SEL

Sebelum kultur sel diperkenalkan, haiwan sering digunakan sebagai bahan uji kaji, terutamanya dalam penghasilan vaksin. Sebagai contohnya, sekitar era 1800-an, penghasilan vaksin cacar lembu atau cowpox dilakukan menerusi pengasingan virus daripada anak lembu. Kemudian, penghasilan vaksin menerusi haiwan ini berterusan hingga abad ke-20.

Penggunaan haiwan sebagai bahan uji kaji menyebabkan masalah berlaku. Antara masalah yang dikenal pasti termasuklah kos yang tinggi dari segi penjagaan haiwan dan pemantauan kesihatan haiwan. Selain itu, haiwan yang diuji kaji mungkin dijangkiti oleh penyakit tertentu. Hal ini menghalang penghasilan vaksin menerusi tubuh haiwan ini. Ada juga haiwan yang digunakan sebagai bahan uji kaji tidak dapat menghasilkan virus tertentu.

Kultur sel ialah kaedah pembiakan sel dalam piring atau balang kultur. Sel ini disokong oleh nutrien dan bahan lain, seperti kolagen, untuk membantu pertumbuhannya. Kultur sel pertama atau sel kultur primer yang berasal daripada tisu hidup. Tisu ini mempunyai pelbagai jenis sel, seperti sel fibroblas, epitelium dan endotelium.

Secara lazimnya, turunan sel yang diperlukan bagi tujuan kultur terdiri daripada satu jenis sel sahaja. Hal ini bermakna, sel daripada tisu ini dibiakkan dalam piring kultur. Setelah itu, jenis sel yang dikehendaki, diambil daripada lapisan sel tisu dan dibiakkan semula sehingga jenis sel yang sama diperoleh.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Hantar Maklum Balas Anda