Khasiat Tersembunyi Bunga Tahi Ayam

Oleh CHEE BENG JIN

BUNGA tahi ayam atau nama saintifiknya, Lantana camara L. sejenis tumbuhan renek, berbatang  keras yang berduri halus dan mempunyai banyak cabang. Daunnya berwarna hijau gelap dan berbulu kasar pada kedua-dua belah permukaan. Bunganya kecil dan tumbuh berjambak pada hujung ranting. Bunganya pelbagai warna seperti merah, merah jambu, putih, oren, kuning dan ungu. Buah tumbuhan ini jenis beri, bersaiz kecil dan bulat. Buah muda berwarna hijau dan biru hitam atau ungu apabila matang serta boleh dimakan.

Nama bunga tahi ayam mungkin berasal daripada baunya yang kurang disenangi apabila daun atau bunganya disentuh atau diramas. Pokok ini juga dikenali dengan nama bunga pagar dan jebat harimau.

Lantana camara berasal dari kawasan tropika benua Amerika dan tersebar di kebanyakan kawasan beriklim tropika. Terdapat rekod yang menunjukkan bahawa pokok ini diperkenalkan di rantau Asia Tenggara sejak kurun ke-19 oleh pedagang Sepanyol. Tumbuhan ini biasanya dijumpai tumbuh liar di kawasan terbuka dan kering, terutamanya di tepi jalan dan tanah terbiar. Pokoknya yang tahan kemarau dan selalunya dianggap sebagai rumpai. Ada kalanya, bunga tahi ayam ditanam sebagai pokok hiasan dalam landskap kerana warna bunganya yang cantik.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Disember 2011

Posted in: Sains Pemakanan

2 Maklum Balas to “Khasiat Tersembunyi Bunga Tahi Ayam”

  • Artikel sebegini amat menarik. Dapat menambah pengetahuan tentang khazanah botani negara. Teruskan usaha murni ini.

  • Artikel dari En Chee amat menarik dan sesuai untuk bacaan umum dan rujukan pelajar seperti saya. Saya berharap untuk membaca lebih banyak lagi artikel-artikel menarik seperti ini di masa hadapan

Hantar Maklum Balas Anda