RADANG MATA PENYAKIT KONJUNKTIVITIS BERJANGKIT

Penyakit radang mata atau katarak bovin Keratokonjunktivitis sejenis penyakit konjunktivitis berjangkit yang biasa ditemukan pada haiwan ternakan, seperti kambing, biri-biri dan lembu. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria, seperti Chlamydia pecorum, Moraxella ovis, Colesiota conjunctivae, Mycoplasma conjunctivae, Listeria monocytogenes, Acholeplasma oculi, Thelazia spp dan Moraxella bovis.

Penyakit radang mata bersifat akut dan mudah menular dalam kalangan ternakan yang berada dalam kumpulan yang sama. Penularan wabak ini berlaku menerusi kontak secara fizikal antara haiwan yang dijangkit dengan haiwan yang bakal dijangkiti atau menerusi agen pembawa bakteria, seperti lalat.

Secara biasanya, haiwan ternakan terdedah pada jangkitan bakteria apabila haiwan yang baru dibeli ditempatkan di kawasan yang sama. Jika haiwan ternakan memakan rumput di ladang yang sama, risiko penyebaran penyakit radang mata meningkat.

Di samping itu, sekitaran yang berhabuk dan kering, populasi lalat yang banyak di ladang ternakan, cuaca panas terik dan tekanan yang tinggi menjadi faktor bagi penularan wabak penyakit radang mata. Tekanan dapat berlaku dalam pelbagai situasi, seperti perpindahan haiwan ternakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, nutrien yang tidak mencukupi dan cuaca yang tidak menentu. Kewujudan tekanan pula menyebabkan sistem imunisasi haiwan menjadi lemah dan sukar untuk melawan penyakit radang mata.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Flora dan Fauna

Hantar Maklum Balas Anda