HANTU JANGAN DICARI

Hantu ialah makhluk yang sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Pelbagai nama yang merujuk hantu diberikan oleh orang dahulu untuk menggambarkan sifat, rupa dan peranan hantu. Jika rupanya cantik, hantu ini dikenali sebagai langsuir. Jika saiznya kecil, hantu ini dikenali sebagai toyol. Jika badannya berbungkus, hantu ini dikenali sebagai pocong. Kadangkala, hantu juga dirujuk sebagai mambang atau jembalang.
Walau apa-apapun nama yang diberikan, setiap hantu ini mempunyai sifat yang sama, iaitu tidak dapat dilihat oleh manusia. Namun begitu, ada sesetengah orang yang dikatakan mampu melihat hantu ini. Antaranya termasuklah bayi atau kanak-kanak. Bagi orang dewasa yang mahu melihat hantu, sama ada disebabkan oleh ketaasubannya terhadap cerita hantu atau ingin membenarkan kewujudan hantu dengan menggunakan mata sendiri, pelbagai alat mencari hantu direka dan dihasilkan.
Seiring dengan kemajuan teknologi dari segi penghasilan alat dan kemajuan dalam ilmu fizik, iaitu pentafsiran gelombang, pencarian hantu ini seolah-olah berjaya. Menerusi perkembangan dalam bidang fizik, dapat diketahui bahawa setiap hidupan mempunyai frekuensi yang tersendiri, begitu juga hantu. Oleh sebab frekuensinya yang berbeza daripada manusia, hantu tidak dapat dilihat.
Apabila frekuensi berubah melampaui julat yang dapat dikesan oleh pengesan frekuensi, frekuensi ini tidak dapat dikesan. Sebagai contohnya, radio mampu mengesan frekuensi siaran radio, tetapi tidak mampu mengesan frekuensi yang berada di luar julat frekuensi yang ditetapkan oleh pembuat radio. Oleh sebab itu, jika frekuensi hantu diketahui, alat pengesan frekuensi hantu ini dapat dicipta.
Dalam industri perfileman, hal ini pastinya suatu berita baik. Penemuan hantu membantu penulis skrip untuk menulis skrip yang lebih realistik. Bagi pengarah filem, gambaran cerita hantu yang lebih menyeramkan dapat ditonjolkan. Bagi penonton pula, filem yang benar-benar menyamai fakta tentang hantu dapat dinikmati. Malah, pada suatu hari nanti, filem hantu, seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Khurafat, Munafik dan Pontianak mungkin akan tinggal sejarah sebagai filem hantu klasik.
Secara hakikatnya, betapa hebat pun keupayaan manusia dalam penerokaan ilmu fizik yang dapat membantu manusia untuk melihat hantu, makhluk ini sengaja dicipta supaya tidak dapat dilihat. Frekuensinya yang berbeza, mungkin sekadar alasan yang menyebabkannya tidak dapat dilihat. Oleh sebab itu, tidak usahlah terlalu bersungguh-sungguh untuk mencari hantu sehinggakan perkara yang lebih utama dalam kehidupan ini diabaikan.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor

Hantar Maklum Balas Anda