AGEP MASALAH KULIT

Pustulosis eksantematus umum akut atau AGEP ialah masalah yang melibatkan kulit. AGEP menyebabkan permukaan kulit kelihatan seperti ruam biasa. AGEP dikenali sebagai ubat pustular letusan atau toksik pustuloderma yang bercirikan bahagian kutaneus dalam keadaan biasa. Ada sebanyak 90 peratus kes yang berkaitan dengan pengurusan ubat yang menyebabkan ruam muncul secara purata dalam tempoh lima hari selepas pengambilan ubat tertentu dimulakan.

AGEP diklasifikasikan sebagai reaksi kutaneus yang teruk terhadap ubat yang diberikan ketika perawatan penyakit. Secara biasanya, tanda klinikal yang dikenal pasti pada pesakit yang menghidap AGEP ialah kemunculan ruam pada muka, celah ketiak dan pangkal paha, yang seterusnya merebak ke seluruh badan. Ruam juga dapat dilihat di kawasan kulit yang merah dengan lepuh kecil yang dipenuhi oleh cecair putih atau kuning. Bengkak pada bahagian muka juga kelihatan.
Tanda ini turut disertai oleh demam, neutrofilia, muka bengkak, hepatitis dan eosinofilia. Kadar kematian yang disebabkan oleh AGEP di seluruh dunia adalah lebih kurang lima peratus. AGEP juga dikaitkan dengan kelesuan. Secara umumnya, pesakit sentiasa berasa kurang sihat. Keadaan ruam pada pesakit juga dapat bertahan dalam tempoh antara satu hingga dua minggu. Setelah itu, kulit mengelupas dan pesakit sembuh.
Di samping itu, AGEP dapat dialami oleh lelaki dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak. Anggaran kes AGEP adalah antara tiga hingga lima per juta bagi setiap penduduk di seluruh dunia dalam tempoh setahun. Lebih daripada 90 peratus kes AGEP berlaku disebabkan oleh pengambilan ubat, seperti ubat antibiotik daripada jenis beta laktam, seperti penisilin, sefalosporin dan kuinolon. Ubat lain, seperti Tetracyclines, Sulfonamides, oral antifungus, Terbinafine, penghalang saluran kalsium dan Paracetamol juga dapat menyebabkan berlakunya AGEP.
Secara biasanya, AGEP bermula dalam tempoh dua hari selepas terdedah pada ubat yang dipreskripsikan oleh doktor perubatan. Jangkitan virus, seperti Epstein-Barr virus enterovirus, adenovirus, sitomegalovirus dan virus hepatitis B dapat menjadi pencetus biasa bagi masalah AGEP pada kanak-kanak. Selain itu, ada juga kes AGEP yang disebabkan oleh gigitan labah-labah.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Jun 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Hantar Maklum Balas Anda