LUBANG CACING PINTU ANGKASA MASA HADAPAN

Dalam cerita Doraemon, watak Doraemon ialah robot masa hadapan yang mempunyai pelbagai alat berteknologi tinggi dalam saku empat dimensinya. Semua alat dalam saku ini tidak pernah ditemukan pada zaman ini, apatah lagi pada zaman cerita ini dihasilkan. Berdasarkan imaginasi penulis cerita Doraemon, alat ini hanya wujud pada zaman akan datang, iaitu ketika Doraemon dihasilkan pada 3 September 2112.
Antara alat yang biasa digunakan dalam setiap cerita Doraemon termasuklah buluh terbang, pintu suka hati, mesin cahaya masa dan lampu pengecil. Bagi pintu suka hati, sesiapa sahaja dapat melalui pintu ini untuk pergi ke mana-mana tempat yang diingininya. Pintu ini menjadi laluan singkat yang menghubungkan antara dua lokasi.
Yang sebenarnya, ada teori yang lebih hebat tentang perhubungan antara dua lokasi. Teori yang diterbitkan dalam makalah pada tahun 1935 oleh Einstein-Rosen menerangkan tentang lubang cacing yang dapat menghubungkan dua kawasan yang dipisahkan oleh ruang dan waktu.
Menerusi lubang cacing, manusia bukan sahaja dikatakan dapat menghantar pesanan dengan menggunakan denyut cahaya ke lokasi yang jauh di alam semesta, tetapi juga memungkinkan manusia tiba di destinasi ini. Antara lokasi yang mungkin dapat ditujui oleh manusia termasuklah bulan, bintang, planet, galaksi dan sistem lain.
Dalam penulisan cerita Doraemon, penulisnya membayangkan bahawa hanya selepas 142 tahun, iaitu dari tahun 1970, barulah pintu suka hati berjaya dicipta. Bagi pintu lubang cacing, mungkin tempoh penciptaannya lebih lama. Namun begitu, apabila ada filem, seperti Interstellar, yang mengetengahkan konsep lubang cacing dalam ceritanya, pasti ada titik penamat bagi penciptaan pintu angkasa ini.
Walau bagaimanapun, setelah konsep lubang cacing ini berjaya dibuktikan dan dijadikan sebagai pintu angkasa, ada isu keselamatan dan pencerobohan yang perlu difikirkan. Jika tempat yang sangat jauh dapat ditujui dengan mudahnya, apatah lagi tempat yang berada di planet yang sama, iaitu Bumi. Oleh sebab itu, negara tertentu, terutamanya yang mengamalkan dasar tertutup, pasti tidak menyukai pintu angkasa ini.
Posted in: Daripada Editor

Hantar Maklum Balas Anda