MARIKH: DESTINASI BERIKUTNYA?

Berdasarkan satu anggaran konservatif, ekspedisi
manusia pertama ke Marikh dijangka berlaku menjelang
pertengahan era 2030-an. Berdasarkan teknologi terkini, perjalanan
ke planet Marikh memerlukan tempoh antara lima bulan hingga enam
bulan. Berdasarkan anggaran NASA pula, misi pergi-balik ke Marikh
memerlukan tempoh, 30 bulan.
Jika andaian ini benar-benar berlaku, dalam tempoh 13 tahun lagi,
manusia berjaya menjejakkan kaki di Marikh. Dalam hal ini, apabila
kehidupan manusia di Marikh stabil dan dibuktikan sebagai suatu
yang menyelesakan, manusia boleh meninggalkan Bumi beramairamai
untuk berhijrah ke planet yang berjiran dengan Bumi ini.
Dengan beberapa isu yang makin serius, seperti bekalan air
mentah yang kian berkurang, sumber tenaga yang hampir habis dan
pencemaran yang makin meruncing, ekspedisi ke Marikh ini seolaholah
perlu direalisasikan. Manusia juga ditakutkan dengan pelbagai
isu supaya berpindah ke planet ini.
Marikh dipilih oleh pihak tertentu sebagai destinasi yang
berikutnya selepas Bulan kerana dikatakan mempunyai jumlah
simpanan air yang tinggi. Air ialah kunci bagi kelangsungan setiap
hidupan kerana hampir semua hidupan memerlukan air untuk hidup.
Sesungguhnya, berpindah ke tempat yang ada air lebih mudah
berbanding dengan berpindah ke tempat yang airnya perlu dihasilkan
sendiri oleh kelengkapan moden. Dari satu aspek yang lain, jika
manusia mampu menjana air, penghijrahan manusia tidak sepatutnya
berlaku.
Tuhan menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di Bumi,
bukannya planet lain. Sebagai persediaan untuk manusia menjadi
khalifah, Bumi dan segala isi Bumi dicipta untuk memenuhi keperluan
manusia. Dengan sifat Maha Adil Tuhan, keperluan manusia
di Bumi, sangat cukup. Isu atau masalah yang menyebabkan
manusia dikatakan perlu berhijrah ke planet lain hanyalah suatu
kesilapan dalam pengurusan Bumi. Oleh sebab itu, manusia perlu
memfokuskan untuk membetulkan kesilapan ini dengan kembali
kepada panduan yang diberikan oleh Tuhan.
Walau bagaimanapun, ekspedisi ke Marikh bukanlah suatu
yang sia-sia. Ekspedisi ini masih boleh diteruskan. Hal ini dikatakan
demikian kerana menerusi ekspedisi ini, manusia mampu
mendekatkan diri kepada Penciptanya. Dalam tempoh perjalanan
ke Marikh, pasti ada banyak bukti atau tanda kebesaran Tuhan
yang dapat dilihat. Bukti dan tanda ini, apabila difikirkan, terserlahlah
kelemahan manusia, seterusnya menyebabkan manusia makin patuh
dan tunduk kepada segala suruhan dan larangan Tuhan.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor

Hantar Maklum Balas Anda