MARIKH TUNGGU AKU DATANG

Pada tahun 1969, tiga angkasawan Amerika, Neil Armstrong, Michael Collins dan Buzz Aldrin, tiba di Bulan dalam tempoh empat hari, enam jam dan 45 minit. Apabila kembali ke Bumi, mereka terpaksa melalui rejim pemulihan dan penyesuaian semula terhadap tubuh untuk menjadikan tubuh normal semula.
Pengaruh alam angkasa lepas, khususnya di alam yang tiada pengaruh graviti terhadap tubuh, berbeza daripada pengaruh alam di Bumi yang beratmosfera, bergraviti dan beroksigen. Manusia hidup terapung dan hilang sensasi ketika berada di dunia yang tiada pengaruh graviti.
Manusia ingin menjejakkan kaki di planet lain di angkasa pada suatu hari nanti. Oleh sebab itu, manusia perlu
bersiap sedia untuk menyesuaikan tubuhnya terhadap habitat yang sangat asing ini. Ilmu pengetahuan untuk melalui tempoh yang lama di alam sifar graviti ini perlu dicari. Satu daripada tempat untuk memperoleh ilmu, pengajaran dan petua penyesuaian ini ialah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
ISS ialah ciptaan lembaga makmal buatan manusia terbesar yang ditempatkan di orbit, iaitu lebih kurang 460 kilometer dari permukaan Bumi. ISS ialah makmal sains angkasa yang berfungsi untuk membantu manusia mencungkil ilmu bagi meleraikan rahsia cakerawala dan kehidupan di angkasa raya, serta mengkaji kesan ruang terhadap tubuh manusia di alam sifar graviti.
Sejak tahun 2000, ISS menerima banyak angkasawan. Beriburibu eksperimen dilakukan untuk menguji kesan ini. Ahli sains sedang mempersiapkan manusia atau warga Bumi untuk maju ke hadapan dalam penerokaan angkasa.
Pada 18 Jun 2016 yang lalu, tiga angkasawan dari Ekspedisi ISS 47 menamatkan misi enam bulan. Aljazeera, badan penyiaran atau jaringan media yang berpangkalan di Doha melakukan kajian tentang kesan fizikal yang dialami oleh angkasawan ini ketika hidup di dunia yang bebas daripada pengaruh graviti.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Sains Angkasa

Hantar Maklum Balas Anda