Sporotrikosis Kudis Buta Zoonosis Domestik

Dari segi perubatan dan dermatologi,
sporotrikosis merebak menerusi kulat,
Sporothrix schenckii yang sering
ditemukan di dalam tanah, serpihan
tumbuhan dan kayu reput. Selain
itu, orang yang terlibat dalam aktiviti
pertanian, seperti tapak rekreasi, tapak
semaian, taman landskap dan pekerjaan
perhutanan, terdedah pada penyakit ini.
Pada tahun 1941 dan 1943, beribu-ribu
pekerja lombong emas di Witwatersrand,
Afrika Selatan dijangkiti oleh penyakit
sporotrikosis. Penularan penyakit ini
berpunca daripada pencemaran kulat, S.
schenckii yang tumbuh pada tiang kayu.
Dari segi veterinar, sporotrikosis
dikesan pada anjing, kucing, kuda,
lembu, unta, ikan lumba-lumba, kambing,
keldai, burung, babi, tikus, armadilo dan
manusia. Jangkitan zoonotik berlaku
apabila sentuhan dan perhubungan
berlaku. Pada tahun 1998, penularan
wabak ini di bandar Rio de Janeiro
dikaitkan dengan kucing.
Sporotrikosis ialah penyakit yang
menular dalam rumah tangga. Hal
ini dikatakan demikian kerana kucing
domestik ialah haiwan pembawa
penyakit sporotrikosis kepada manusia
dan penularan kulat ini berlaku tanpa
perlu melalui luka. Yang sebaliknya,
penularan penyakit daripada
haiwan spesies lain yang menderitai
sporotrikosis memerlukan inokulasi kulit
yang terlebih dahulu terluka (inokulasi
trauma).
Tabiat kucing jantan yang merayau
di luar rumah dan suka berkelahi,
terutamanya pada musim mengawan,
mendedahkannya kepada luka. Hal
ini memudahkan S. schenckii untuk
memasuki badan. Jangkitan ini dapat
disebarkan oleh kucing menerusi
cakaran pada kulit.
Sporotrikosis diklasifikasikan
kepada empat kategori klinikal. Yang
pertamanya, lifokutan, iaitu kulit dan limfa
yang berdampingan. Yang keduanya,
kulit tetap. Yang ketiganya, multifokal
atau bertaburan. Yang keempatnya,
bukan kulit, iaitu jangkitan pada organ
tubuh yang lain.
Bentuk klinikal varian limfokutan
paling kerap berlaku dan mewakili 75
% daripada semua kes sporotrikosis
manusia dan kucing. Secara biasanya,
sporotrikosis kulit berlaku disebabkan
oleh inokulasi trauma S. sporothrix
pada kulit dan sering dikaitkan dengan
radang limfa atau lifangitis. Ciri varian
ini ialah kemunculan bintat kecil, bulat
dan keras pada permukaan kulit, yang
kemudiannya berkembang menjadi bintil
dan ulser.

___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Hantar Maklum Balas Anda