Tirjup Tanah Spesies Unik

Dari segi saiz, tirjup tanah sama
besar dengan burung pipit rumah
dengan panjang keseluruhannya lebih
kurang antara 19 cm hingga 20 cm.
Tirjup tanah mempunyai bulu kepak dan
kepala berwarna coklat, sementara bulu
pada bahagian perutnya berwarna putih.
Bulu pada bahagian tepi matanya yang
mengunjur ke bahagian leher berwarna
hitam, manakala bulu pada bahagian
dagu sehingga bahagian dadanya
berwarna putih, seakan-akan seperti
memakai topeng muka. Ekornya kecil,
pendek dan tirus, manakala paruhnya
tajam. Paruh pada bahagian atas
membengkok ke bawah seperti paruh
burung helang.
Tirjup tanah mengeluarkan bunyi
yang laju dan berulang-ulang, iaitu set
… set … set … set … set. Tirjup tanah
gemar hinggap di atas dahan kayu mati
yang ada di kawasan lapang. Hal ini
dikatakan demikian kerana tirjup tanah
dapat melihat serangga, seperti belalang
atau belalang patung, yang terbang
berhampirannya. Kadang-kadang, tirjup
tanah turun ke tanah untuk menangkap
serangga yang merayap di atas tanah.
Kawasan keliaran tirjup tanah tidak
besar, iaitu lebih kurang 100 meter
persegi.
Tirjup tanah berada di kawasan
keliarannya ini selagi ada serangga yang
dapat dimakannya. Apabila senja, tirjup
tanah mencari pokok rendang yang
berhampiran dengannya untuk berehat
dan tidur.
Tirjup tanah amat sensitif terhadap
kehadiran manusia di kawasan
keliarannya. Burung ini terbang
segera untuk menyembunyikan diri
apabila mendapati manusia cuba
menghampirinya, walaupun pada jarak
lebih kurang 30 meter. Habitat tirjup
tanah ialah pinggir hutan, belukar,
kawasan lapang, dusun buah dan
tanaman, serta kawasan kampung.
Burung ini dapat ditemukan di kawasan
dengan ketinggian hingga dua ribu meter
dari aras laut.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Konservasi

Hantar Maklum Balas Anda