Pemulihan Ekosistem Hutan Paya Gambut Secara Landskap

HPG ialah hutan tanah lembap yang terbesar di Malaysia dengan jumlah keluasan, 1.54 juta hektar (ha). Dari segi pecahan, 0.30 juta ha terletak di Semenanjung Malaysia, 1.12 juta ha di Sarawak dan 0.12 juta ha di Sabah. HPG penting dari segi kepelbagaian biologi dan peranannya terhadap kesejahteraan masyarakat awam.
HPG merangkumi lebih kurang 7.9 % daripada seluruh kawasan hutan di Malaysia. Namun begitu, HPG tetap berhadapan dengan ancaman kemerosotan dan kemusnahan yang disebabkan oleh aktiviti pembangunan. Antara ancaman utama ini termasuklah pembukaan tanah secara haram, pencerobohan, penyaliran air keluar daripada HPG melalui parit dan amalan pembalakan yang tidak sesuai dengan ciri ekosistem ini yang agak rapuh dan sensitif.
Aktiviti penyaliran keluar air dan pembukaan kawasan hutan menyebabkan lapisan atas tanah gambut, kering. Keadaan ini mendedahkan tanah gambut kepada risiko kebakaran. HPG yang terbakar menyebabkan kemusnahan atau kemerosotan nilai. Hal ini dikatakan demikian kerana kepelbagaian biologi, seperti sumber pokok balak yang dapat dibaharui, hasil hutan bukan kayu dan sumber air, hilang.
Kebakaran hutan di atas tanah gambut dan penyaliran keluar air gambut ialah penyumbang utama bagi pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera menerusi proses oksidasi dan menyebabkan kehilangan bahan organik di permukaan tanah gambut. Kadar pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera dari kawasan tanah gambut di Asia Tenggara, tinggi, iaitu antara 1.3 % hingga 3.1 % daripada kadar keseluruhan pelepasan gas rumah hijau oleh pembakaran bahan api fosil dunia.

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: DARIPADA FRIM

Hantar Maklum Balas Anda