MyTOKOH Perjuangan Tokoh Melayu

Sumbangan tokoh Melayu dalam konteks memperjuangkan bangsa dan negara perlu diambil berat oleh segenap masyarakat, lebih-lebih lagi golongan muda. Usaha murni Kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek teras wajib bagi semua murid dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) seawal tahun 4 perlu dipuji. Langkah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap mata pelajaran Sejarah sejak sekolah rendah agar negara mampu melahirkan murid yang berjiwa patriotik dan menghargai sumbangan pejuang bangsa.
Melihat senario ini, inisiatif yang bertepatan dengan perkembangan teknologi terkini, diambil. Aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai My-TOKOH, dibangunkan untuk memberikan pengetahuan terhadap sumbangan dan perjuangan tokoh Melayu negara dalam bentuk yang lebih terkini dalam kalangan murid sekolah. Aplikasi ini hasil cetusan idea Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puan Mudiana Mokhsin@Misron, selaku Felo Inovasi dan Pengantarabangsaan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK). Pensyarah ini bersama-sama dengan pelajar seliaannya dibantu oleh beberapa staf IMPAK berusaha ke arah memberikan kesedaran tentang pejuang bangsa menerusi pembangunan aplikasi ini. Sekitaran pembelajaran mudah alih seperti ini membuka pelbagai peluang pembelajaran yang menarik, selain menyasarkan golongan murid sekolah secara khusus. Menerusi aplikasi ini, 30 orang tokoh Melayu yang memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan bangsa dan negara, disenaraikan.
Kaedah yang digunakan dalam pembangunan aplikasi ini ialah Kitaran Hayat Pembangunan Aplikasi Mudah Alih (MADLC) kerana pendekatannya paling sistematik dan sesuai dalam pembangunan aplikasi
mudah alih. Aplikasi ini menyediakan suasana pembelajaran yang interaktif. Fiturnya membolehkan murid mengetahui sumbangan pejuang bangsa menerusi animasi dan narasi suara, serta menguji tahap pemahaman melalui permainan susun-suai gambar yang disediakan.
Projek ini dipertandingkan di program “K-Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran” yang diadakan di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 15 Februari 2017 dan berjaya memenangi pingat gangsa. Pada masa ini, aplikasi ini hanya dibangunkan bagi peranti mudah alih yang menggunakan sistem pengoperasian Android. Projek ini dicadangkan untuk dimuat naik ke dalam aplikasi prapasang Google Play Store bagi kemudahan murid sekolah.
___

Rencara ini dipetik daripada Dewan Kosmik Ogos 2017.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Lain-lain

Hantar Maklum Balas Anda