Pencarian Tenaga Tidak Berakhir

Pencarian Tenaga Tidak Berakhir
Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Perbincangan tentang kelangsungan dunia masa hadapan banyak difokuskan pada aspek janaan tenaga. Hal ini dikatakan demikian kerana dunia yang serba canggih dan maju akan berakhir apabila bekalan tenaga dihabiskan. Pada waktu itu, bangunan bergelap, kenderaan tidak dapat bergerak, sistem komputer tergendala, mesin dan alat komunikasi gagal beroperasi, serta perhubungan terputus. Sebagai kesannya, tiada lagi konsep automatik. Semuanya perlu dilakukan dengan menggunakan tenaga manusia sendiri.
Manusia juga akan kembali kepada kehidupan zaman dahulu yang menggunakan konsep mekanikal dalam kelangsungan kehidupan. Basikal dan beca digunakan sebagai medium untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, manakala alat berasaskan batu dan logam digunakan semula untuk meneruskan kehidupan. Secara asasnya, ada dua kaedah yang membolehkan bekalan tenaga berterusan pada masa akan datang. Yang pertamanya, menjimatkan tenaga sedia ada. Dalam hal ini, penciptaan pelbagai alat yang mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga dicipta. Pengguna pula diminta untuk mengubah gaya hidup, seperti mengurangkan penggunaan tenaga jika tidak digunakan.
Yang keduanya, mencari sumber tenaga baharu. Kaedah ini banyak difokuskan oleh penyelidik kerana tenaga yang dijimatkan tetap akan habis suatu hari nanti. Oleh sebab itu, perlu ada tenaga baharu bagi menggantikan tenaga ini. Setelah tenaga baharu ini habis, tenaga baharu yang lain dicari lagi. Begitulah kitar pencarian tenaga baharu. Usaha ini sekali-kali tidak pernah berhenti. Satu daripada tenaga baharu yang ditemukan ialah tenaga nuklear. Tenaga nuklear yang menggunakan bahan api uranium tidak dinafikan sumbangannya dan diakui sebagai sumber tenaga yang bersih, selamat dan mampu menghasilkan kuantiti tenaga yang banyak berbanding dengan sumber tenaga lain. Walau bagaimanapun, bekalan uranium hanya mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun.

__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Disember 2017.

Posted in: Daripada Editor

Hantar Maklum Balas Anda