AWASI KELANGSUNGAN SEL KANSER

Oleh: Mohd. Syukri Anwar

Kanser ialah penyakit yang sangat ditakuti. Begitu banyak orang yang menghidap kanser, mati. Kematian mereka berlaku, sama ada ketika sedang menjalani rawatan atau tanpa sempat menjalani rawatan. Jika sempat menjalani rawatan, keadaan mereka seperti orang yang hampir mati, dengan rambut yang gugur, badan yang kurus kering, selera makan yang hilang dan keupayaan fizikal yang lemah.
Hal yang paling kritikal dalam bidang rawatan kanser ialah pengesanan kanser. Hanya setelah kanser dikesan, barulah rawatan kanser dapat dilakukan. Apabila pengesanan kanser hanya dilakukan pada saat akhir, keberkesanan rawatan akan berkurang. Malah, yang lebih malang lagi apabila kanser dikesan apabila pesakitnya tidak mampu lagi bertahan untuk menerima rawatan, iaitu hanya menghitung detik untuk dipanggil menemui penciptanya.
Bagi mengatasi atau mengurangkan kejadian kanser ini, banyak pihak yang mengemukakan pelbagai cadangan, sama ada berdasarkan kajian atau idea semata-mata. Daripada semua cadangan ini, ada satu cadangan yang menarik untuk dikongsikan. Cadangan ini adalah dengan menganggap diri pengguna sedang menghidap kanser. Walaupun cadangan ini agak kurang munasabah, dari sudut lain, ada kebaikannya yang tersendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang itu tidak akan berhati-hati dari segi penjagaan diri, melainkan telah disahkan menghidap sesuatu penyakit.
Cadangan ini juga ada kebenarannya kerana sel yang tidak normal ini memang ada pada setiap orang. Yang membezakannya hanyalah jenis dan tahapnya. Ada orang yang berupaya memusnahkannya sebelum sel ini sempat membahagi dan menjadi banyak, seterusnya berpindah ke organ lain, seperti peparu, usus dan otak. Oleh sebab itu, perlu diingat bahawa hanya masa yang menentukan sama ada sel yang tidak normal yang ada pada diri kita akan bertukar menjadi kanser atau tidak.
Menerusi tanggapan ini, pengguna akan berwaspada dari segi pengambilan makanannya dan menjaga kesihatan dirinya sebaik-baik mungkin. Secara tidak langsung juga, pengguna akan membudayakan pengambilan tumbuhan yang dikatakan mujarab untuk merawat kanser dan menjadikannya sebagai ulam. Mungkin, perkara inilah yang menjadi sebab bagi orang dahulu kekal sihat tanpa ada banyak penyakit yang menghantui mereka.
__

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Januari 2018.

Sila dapatkan borang langganan untuk urusan langganan.

Posted in: Daripada Editor

Hantar Maklum Balas Anda