Genus Ridleyandra di Semenanjung Malaysia

Oleh: Siti Munirah Mat Yunoh

Ridleyandra satu daripada genus yang ada dalam keluarga Gesneriaceae. Kata “Ridley” bersempena dengan nama Henry Nicholas Ridley (tahun 1855 – tahun 1956), iaitu bagi menghormati beliau sebagai seorang ahli botani Inggeris terkenal yang bekerja di Singapura, Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya.

Kata “-andra” pula berasal daripada bahasa Greek ανδρος, iaitu andros yang bermaksud lelaki. Nama ini merujuk bahagian androesium yang berkaitan dengan kedudukan asal tumbuhan sebelum ini, iaitu dalam kumpulan Didissandra.

Ada 31 spesies tumbuhan dalam keluarga Ridleyandra yang bertaburan dari Thailand, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Di Semenanjung Malaysia, 24 spesies diiktiraf. Sebanyak 23 daripadanya endemik di Semenanjung Malaysia. Satu spesies juga direkodkan di Thailand.

Ridleyandra ialah tumbuhan endemik, iaitu khusus di kawasan tertentu. Habitat tumbuhan Ridleyandra ialah hutan tropika yang masih berkeadaan baik. Tumbuhan jenis ini dapat ditemukan di hutan dipterokarpa bawah, hutan dipterokarpa tinggi dan hutan gunung. Kebanyakannya menyukai tempat yang redup dan sedikit basah. Sebagai contohnya, berdekatan dengan sumber air, seperti sungai atau mata air.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Hantar Maklum Balas Anda