Influenza Menyerang Lagi

Oleh: Che’ Wan Aminud-Din Hashim

Influenza atau demam selesema ialah penyakit respiratori yang disebabkan oleh virus selesema. Jangkitan yang tidak serius hanya menyebabkan demam yang ringan dan hidung berair. Walau bagaimanapun, jangkitan yang serius boleh menyebabkan kematian. Sejak bulan November 2017, statistik menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pesakit yang dijangkiti oleh virus selesema di seluruh dunia.

Ada empat jenis virus influenza, iaitu A, B, C dan D. Namun begitu, hanya virus A dan B yang menyebabkan serangan selesema bermusim. Pada setiap tahun, virus ini merebak dengan strain atau jenis yang berbeza-beza. Di luar negara, punca utama selesema pada kali ini lebih serius kerana melibatkan virus H3N2, iaitu sejenis virus daripada kumpulan virus A yang dapat menyebabkan lebih banyak komplikasi dan sukar dikawal.

Virus H3N2 menyebabkan jangkitan yang serius dan boleh menyebabkan kematian, terutamanya jika melibatkan warga emas dan kanak-kanak. Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad disebabkan oleh serangan virus terbaharu ini pula lebih tinggi berbanding dengan selesema bermusim yang disebabkan oleh virus A H1N1 pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, penyelidik masih belum mengetahui jawapan bagi puncanya.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Kesihatan

Hantar Maklum Balas Anda