Alkohol Merosakkan Tisu

Oleh: Rochman Naim

Kesan langsung alkohol, seperti gangguan pada komponen membran sel dan protein isyarat, dan kesan tidak langsungnya, berlaku disebabkan oleh metabolisme alkohol yang bertindak secara konsisten untuk merosakkan tisu. Metabolisme alkohol sering dianggap sebagai faktor utama yang menyebabkan kerosakan tisu yang berkaitan dengan alkohol, terutamanya menerusi penjanaan spesies oksigen reaktif (SOR) dan tekanan oksidatif di dalam tisu.

SOR dihasilkan ketika pengoksidaan alkohol dan asetaldehid, sama ada oleh alkohol dehidrogenase (ADH) atau aldehid dehidrogenase (ALDH), dan sitokrom P450 (CYP2E1). Kadar pengoksidaan alkohol dan asetaldehid oleh ADH dan ALDH ditentukan oleh kadar NADH yang dihasilkan menerusi sistem pengangkutan elektron mitokondria. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pengangkutan elektron mitokondria memerlukan oksigen dan menghasilkan ATP. Kadar pengoksidaan NADH pula bergantung pada bekalan oksigen sel dan permintaannya terhadap ATP.

Jika kedua-dua faktor ini terhad, aktiviti pengangkutan elektron dikurangkan, seterusnya menyebabkan kesan tertentu. Yang pertamanya, alkohol dan asetaldehid tidak dimetabolismekan secara cekap. Yang keduanya, elektron yang melalui rantai pengangkutan elektron mitokondria dialihkan menjadi SOR yang berbahaya, terutamanya superoksid. Metabolisme alkohol oleh ADH dan ALDH berlaku, terutamanya di hati. Oleh sebab itu, kesan buruk yang berkaitan dengan metabolisme etanol oleh enzim ini dan pengeluaran SOR yang berkaitan, mempengaruhi hati.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Sains Perubatan

Hantar Maklum Balas Anda