Orkid Hantu Melayang di Udara

Oleh: Chua Hun Pin

Orkid hantu ialah sekumpulan orkid unik yang mengalami proses pengubahsuaian sehingga organ daunnya mengecil, bersifat sementara atau hampir tidak wujud. Dalam hal ini, seluruh tumbuhan hanya terdiri daripada akar sebagai alat untuk melekatkan dirinya pada batang pohon. Akar ini seperti dawai berwarna kelabu hijau yang kelihatan seperti akar orkid biasa.

Akar orkid hantu mengandungi pigmen klorofil pada lapisan permukaannya. Hal ini membolehkannya mengambil alih tugas daun bagi proses fotosintesis, selain menyerap air dan nutrien. Akar yang berisi ini menggantikan batang sebagai organ penyimpan air. Akar beberapa spesies orkid hantu turut mempunyai hubungan simbiosis dengan kulat mikoriza dan alga bagi tujuan perolehan zat makanan tambahan.

Habitat orkid hantu adalah di kawasan tropika Asia Tenggara, Afrika, Australia, Amerika Selatan dan Kepulauan Caribbean. Tumbuhan ini ialah epifit yang menumpang pada permukaan dahan pokok. Orkid tanpa daun ini merangkumi genus utama, seperti Chiloschista, Taeniophyllum, Dendrophylax, Polyrrhiza, Microcoelia dan Harrisella. Ada beberapa spesies Chiloschista dan Taeniophyllum yang dapat ditemukan di Malaysia.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Mei 2018.

Posted in: Flora dan Fauna

Hantar Maklum Balas Anda