PEPIJAT PENYEDAP RASA

Oleh: Chee Beng Jin

Pepijat atau Elettariopsis curtisii ialah tumbuhan herba tahunan yang berasal daripada keluarga halia. Pepijat mempunyai rizom yang berbentuk tirus dan panjang. Rizomnya diliputi oleh selaput yang longgar dan tumbuh menjalar hampir di permukaan atas tanah.

Daun pepijat berbentuk lanseolat yang melebar pada bahagian tengah dan menyempit pada tangkai daunnya. Saiz rumpun ini biasanya boleh mencapai 1 m tinggi. Dalam satu rumpunnya ada antara dua helai hingga lima helai daun. Selain itu, rumpun ini menghasilkan bunga tunggal yang panjang dan runcing dari bawah permukaan tanah. Bunganya berwarna putih kekuningan. Pepijat sering ditemukan tumbuh dengan baiknya di kawasan pinggiran hutan tanah pamah yang lembap dan mempunyai teduhan.

Herba ini mempunyai banyak kegunaan. Pepijat ialah sayur penyedap rasa dan digunakan dalam masakan tradisi masyarakat Melayu. Herba ini juga dapat membekalkan khasiat kepada ibu selepas bersalin. Dalam hal ini, daun pepijat digunakan sebagai pembalut tungku untuk didemah pada bahagian perut. Pepijat juga sebahagian daripada ramuan yang disediakan sebagai mandian ketika berpantang. Selain itu, daunnya juga melegakan masalah pening kepala atau mabuk. Bahagian akarnya bersama-sama dengan akar tumbuhan lain dijadikan sebagai ramuan dalam amalan penjagaan kesihatan dalaman.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Julai 2018.

Posted in: Herba

Hantar Maklum Balas Anda