Kacang Hijau dalam Diet Harian

Oleh FAZLINA MUSTAFFA

SIAPA sangka kacang hijau atau nama saintifiknya, Phaselous aureus yang selama ini digunakan sebagai bahan masakan menjadi bahan utama bagi mengekalkan kesihatan serta mendapatkan kulit yang lembut dan berseri. Kacang hijau ternyata memiliki pelbagai khasiat yang berupaya menyembuhkan penyakit.

Kacang hijau yang berasal daripada famili Leguminoseae mengandungi vitamin A yang dapat mengekalkan kelembapan kulit, sekali gus mencegah kedutan. Vitamin C serta bahan antioksida seperti karotenoid yang terdapat dalam kacang hijau mampu mencerahkan kulit serta memudarkan kesan parut. Antara bahan antioksida yang terdapat dalam kacang hijau termasuklah karotenoid (lutein, betakarotene, violasantin, dan neosantin) serta flavanoid (kuersetin, kaemferol, katekin, epikatekin dan prosianidin).

Menurut kajian Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, kacang hijau mempunyai kandungan bahan antioksida yang tertinggi berbanding dengan kekacang lain. Selain menjaga kecantikan, pengambilan kacang hijau secara berterusan sangat bermanfaat untuk mencegah serangan penyakit jantung. Hal ini demikian kerana aktiviti antioksida yang terdapat dalam kacang hijau dapat mencegah aktiviti radikal bebas yang menjadi punca serangan penyakit jantung. Kajian yang dilakukan ke atas tikus mendapati bahagian testa (lapisan luar kacang hijau) yang mengandungi asid lemak omega-3 menyumbang terhadap kesihatan jantung.

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Sains Pemakanan

Hantar Maklum Balas Anda