AIDS KUCING BAHAYA

Oleh: Azri Adzhar

Bagi pemilik kucing, pasti banyak yang tidak mengetahui bahawa kucing juga terkesan dengan virus yang menyebabkan penyakit kurang daya tahan, sama seperti virus AIDS manusia. Walau bagaimanapun, kuman penyebabnya, iaitu virus kurang daya tahan kucing atau feline immunodeficiency virus (FIV), berlainan spesies dan spesifik kepada kucing. Kucing tidak dapat dijangkiti HIV daripada manusia dan manusia juga tidak dapat dijangkiti oleh FIV menerusi hubungan atau sentuhan dengan kucing yang dijangkiti.

Seperti AIDS, FIV menyerang sistem imun dan menyebabkan kucing mudah diserang oleh pelbagai jangkitan. Kucing yang diserang oleh FIV mungkin kelihatan normal dalam tempoh bertahun-tahun. Namun begitu, kucing ini akhirnya merana disebabkan oleh kekurangan daya tahan imun. Apabila menghidap AIDS, kuman yang biasa, seperti bakteria, virus, protozoa dan fungus yang ada di sekitaran mengambil kesempatan dan menyebabkan berlakunya penyakit yang serius. Tempoh masa kemandirian kucing yang dijangkiti oleh FIV pula dianggarkan lebih kurang lima tahun.

Berdasarkan kajian, didapati bahawa prevalens FIV dalam kalangan kucing sihat adalah antara 3% – 7%. Kadar ini meningkat dalam kucing yang berpenyakit atau berisiko terjangkit, iaitu antara 15% – 20%. FIV diklasifikasikan dalam kumpulan lentivirus dan retrovirus. Ciri lentivirus ialah tindakannya perlahan, tetapi berpotensi membunuh. FIV berada dalam keluarga virus yang sama seperti virus kurang daya tahan manusia (HIV).

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Sains Veterinar

Hantar Maklum Balas Anda