ARUS SIMBAR PEMBUNUH SENYAP

Oleh: Marlini Mukhtar

Arus simbar mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang, tetapi bukanlah perkara baharu. Secara umumnya, masyarakat sering mempercayai bahawa keadaan lemas di laut berlaku disebabkan oleh pantai yang berpuaka atau gangguan makhluk halus. Yang sebenarnya, keadaan lemas ini berlaku disebabkan oleh kewujudan arus simbar, iaitu arus yang membunuh secara senyap. Arus simbar juga dikenali sebagai arus tempur dan arus pecah.

Arus simbar ialah arus atau saluran air yang terbentuk di pesisiran pantai yang bergerak menjauhi pantai dalam bentuk garis lurus. Kadar aliran ini biasanya 0.5 meter per saat (1 kaki per saat – 2 kaki per saat). Kelajuan ini dapat berubah sepantas 2.5 meter per saat (8 kaki per saat), iaitu lebih pantas berbanding dengan perenang Olimpik atau perenang yang mahir.

Apabila garis puncak ombak tiba selari dengan garisan pantai, ada dua kemungkinan arus dominan yang terbentuk di pantai. Yang pertamanya, jika tiada penghalang di zon luncur, arus yang terbentuk ialah aliran balik biasa. Namun begitu, jika ada banyak penghalang bukit pasir dan celah di zon luncur, aliran arus simbar yang menuju ke laut mungkin berlaku.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik Ogos 2018.

Posted in: Uncategorized

Hantar Maklum Balas Anda