HUJAN BATU FENOMENA BERULANG

Oleh: Marlini Mukhtar

Hujan batu ialah air hujan yang beku. Hujan batu atau hujan air batu terdiri daripada gumpalan ais yang tidak sekata dengan diameter purata antara 5 mm hingga 50 mm yang dihasilkan oleh awan ribut petir, iaitu kumulonimbus.

Kebanyakan ribut petir yang berlaku mungkin disertai oleh ketulan air batu yang dihasilkan oleh awan kumulonimbus. Namun begitu, tidak semua ribut petir menyebabkan pembentukan hujan batu. Suhu di bawah takat beku pada bahagian atas ribut petir menyebabkan air batu terbentuk. Walau bagaimanapun, kadangkala, air batu ini mencair sebelum sempat jatuh ke permukaan bumi.

Menurut Profesor Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Pengarah Institut Sains Angkasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), proses pembentukan air batu ketika hujan lebat dikaitkan dengan kombinasi keadaan angin, hujan dan faktor ketinggian awan.

Menurut beliau lagi, hujan air batu berlaku apabila arus angin yang kuat membawa titisan air hujan ke lapisan atmosfera yang cukup tinggi dan sejuk, seterusnya menyebabkan titisan air ini membeku. Pertambahan jumlah titisan air batu yang membeku ini menyebabkan saiz ketulan air batu makin besar.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Kosmik September 2018.

Posted in: Fokus

Hantar Maklum Balas Anda