Escherichia coli dalam Sayur-sayuran

Oleh ROCHMAN NAIM

ESCHERICHIA coli merupakan kumpulan bakteria yang besar dan mempunyai kepelbagaian sifat atau ciri. Kebanyakan strain E.coli tidak berbahaya, namun sebahagiannya menyebabkan banyak orang jatuh sakit. Beberapa strain daripada bakteria ini menyebabkan penyakit diarea, jangkitan saluran pernafasan (penyakit pernafasan dan pneumonia) dan penyakit lain. Selain itu, beberapa strain bakteria ini digunakan untuk mengesan pencemaran air. Jika air mengandungi bakteria ini bermakna air tersebut telah tercemar.

Pada Mei 2011, strain E. Coli menjangkiti lebih daripada 2400 orang di 13 negara di Eropah, yang menyebabkan 23 orang meninggal dunia, berdasarkan laporan pada tarikh 9 Jun 2011. Kes terbanyak di Jerman dengan 2347 orang dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, 642 pesakit mengalami komplikasi Sindrom Uremia Hemolisis (HUS) yang meragut nyawa 22 orang. Kebanyakan kes tersebut

melibatkan orang dewasa. Pada 24 Jun 2011, sebanyak 834 kes HUS (30 pesakit meninggal dunia) dan 2967 kes bukan HUS (16 pesakit meninggal dunia) meningkat di Jerman. Setakat ini, wabak ini adalah kes jangkitan E. coli yang mempunyai komplikasi HUS paling tinggi yang pernah wujud di dunia. Pesakit yang dijangkiti bakteria ini mengalami diarea berdarah. Komplikasi HUS kerana jangkitan E. coli biasanya tidak melibatkan jumlah pesakit yang banyak seperti kes ini. Simptom jangkitan bakteria ini ialah kegagalan buah pinggang akut, anemia kerana sel darah merah rosak dan jumlah platelet yang rendah (trombositopenia).

__

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Januari 2012

Posted in: Penyelidikan

Hantar Maklum Balas Anda