AIR SEJUK RAWAT DEMAM?

Oleh: Mohammad Amir Wan Harun

Demam ialah perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Ada orang yang mengalami demam sehingga beberapa kali dalam tempoh setahun. Demam juga menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa dan boleh memberikan kesan yang serius jika dibiarkan begitu sahaja.

Apabila seseorang itu demam, tindakan yang biasa dilakukan adalah dengan memakan ubat demam. Ada juga orang yang mandi untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat semasa demam. Walau bagaimanapun, ada polemik dalam kalangan masyarakat, sama ada perlu mandi dengan air panas atau air sejuk.

Berdasarkan teori perubatan moden, penggunaan air sejuk ais, air ais, atau ketul ais ketika demam tidak menurunkan suhu tubuh badan, tetapi meningkatkan lagi suhu badan. Hal ini dikatakan demikian kerana air yang dingin menyebabkan pembuluh darah pada kulit mengecut sehingga rasa panas yang dibawa oleh darah ke kulit terhalang.

Kaedah Rawatan Demam dengan Menggunakan Air Sejuk
1. Mulakan dengan bacaan doa.
2. Menyiram atau merendam badan di dalam air sejuk pada waktu awal pagi secara berperingkat daripada kaki hingga atas kepala.
3. Berhenti seketika daripada menyiram atau keluar sebentar daripada air untuk memberikan ruang kepada tubuh badan untuk meningkatkan suhu.
4. Ulangi siraman atau rendaman tubuh badan di dalam air. Proses ini perlu diulangi tiga kali.
5. Siraman atau rendaman ini hendaklah dilakukan pada waktu awal pagi sebelum matahari terbit.
6. Siraman atau rendaman ini diulangi sekurang-kurangnya tiga hari pada waktu pagi walaupun demam kebah pada hari kedua. Perkara ini penting untuk memastikan demam tidak berulang. Jika masih tidak sembuh, proses ini diteruskan hingga lima, tujuh atau sembilan hari pada waktu pagi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: SAINS ISLAM

Hantar Maklum Balas Anda