SPF PASOH BERTARAF ANTARABANGSA

Oleh: Musalmah Nasardin, Salleh Mat, Yao Tze Leong dan Ahmad Awang

Berada pada koordinat 2.98ºU 102.31ºT, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Pasoh terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan, lebih kurang 140 km dari Kuala Lumpur. SPF ini terletak di kawasan Hutan Simpan Pasoh yang berkeluasan 13 900 ha.

Hutan Simpan Pasoh menerima purata hujan tahunan yang rendah, iaitu 1842 mm dengan purata suhu 25.4°C. Kawasan ini antara kawasan terkering di Semenanjung Malaysia. Hutan simpan Pasoh ialah hutan hujan tanah pamah, iaitu hutan yang berada pada ketinggian antara 0 meter hingga 600 meter dari aras laut.

Di samping itu, Hutan Simpan Pasoh menjadi habitat bagi ribuan spesies flora dan fauna. Hutan ini juga didominasi oleh keluarga dipterokarpa, iaitu tumbuhan yang mempunyai buah dengan dua sayap. Hutan ini unik kerana dikategorikan sebagai sejenis pulau hutan yang terpisah daripada tulang belakang rangkaian hutan di Semenanjung Malaysia yang bersambung dari Perlis hingga Johor dan dikelilingi oleh ladang kelapa sawit dan getah.

Aktiviti penyelidikan di hutan simpan Pasoh bermula sejak tahun 1964. Pada ketika itu, sekumpulan ahli sains dari Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI), Lembaga Getah Malaysia dan Universiti Malaya melihat potensi besar yang ada pada hutan ini untuk dijadikan sebagai makmal semula jadi bagi penyelidikan ekologi.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: DARIPADA FRIM

Hantar Maklum Balas Anda