POPI TUMBUHAN SUCI

Oleh: Siti Nazurah

Terbentang seluas mata memandang, sebuah ladang bunga popi putih yang memukau pandangan. Wajah jelita bunga popi menghadap langit biru tenang dihiasi oleh awan putih gebu. Matahari terbit dan galak memancar cahaya menjadi nadi kehidupan. Bunga popi yang putih suci itu bagaikan lukisan cantik pada kanvas.

Bunga popi di ladang ini adalah daripada keturunan yang boleh menghasilkan opium. Bagi yang tidak berupaya untuk melahirkan zuriat dadah keturunan opiat, lazimnya bunga popi itu dijadikan sebagai tanaman hiasan untuk menyerikan taman dan laman.

“Aduh! Aduh! Sakit!” kedengaran suara manja Popi V mengaduh kesakitan.

Sebahagian daripada hasil tanaman ladang ini dituai dengan menggunakan mesin, manakala sebahagian lagi dituai dengan menggunakan kaedah tradisional. Kedua-dua kaedah ini masih diamalkan sehingga kini.

Garis selari halus ditoreh secara berhati-hati pada kapsul biji benih kehijauan yang berbentuk bola pingpong. Kapsul biji benih ini ditoreh secara vertikal dengan menggunakan pisau sadap. Getah pekat seputih susu menitis perlahan-lahan, kemudian mengalami proses pengoksidaan dan pengentalan. Yang seterusnya, getah ini bertukar menjadi getah kental berwarna coklat kehitaman gelap.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik September 2018.

Posted in: Cerpen

Hantar Maklum Balas Anda