FORSEPS BANTU KELAHIRAN BAYI

Oleh: Nik Hazlina Nik Hussain

Dalam proses kelahiran bayi, bantuan luar mungkin diperlukan disebabkan oleh faktor tertentu. Antaranya termasuklah bayi tidak memperoleh oksigen yang mencukupi atau ibu tidak lagi berdaya untuk meneran. Satu daripada bantuan yang dapat diberikan ialah penggunaan forseps. Alat ini diletakkan pada bahagian kepala bayi supaya bayi dapat ditarik keluar. Namun begitu, sebelum forseps digunakan, doktor berbincang dengan pesakit terlebih dahulu tentang kelahiran bayi berbantukan forseps ini.

Secara lazimnya, forseps digambarkan seperti sudu garpu salad buatan keluli tahan karat atau penyepit gula yang besar. Forseps terdiri daripada dua bahagian bersilang. Hujungnya melengkung untuk mencengkam atau memegang kepala bayi.

Secara biasanya, ibu memerlukan kaedah kelahiran bayi sebegini disebabkan oleh faktor tertentu. Sebagai contohnya, bayi mengalami kekurangan oksigen pada peringkat kedua kelahirannya, ibu berasa sangat letih dan tidak berupaya untuk meneran lagi dan bayi tidak memberikan tindak balas atau kemajuan semasa proses meneran. Selain itu, ibu yang mengalami masalah perubatan, seperti sakit jantung, yang menyebabkan ibu tidak dapat meneran dalam tempoh yang terlalu lama juga menyebabkan forseps terpaksa digunakan.

Rencana ini dipetik daripada Majalah Dewan Kosmik Oktober 2018.

Hantar Maklum Balas Anda