Ujian Kanser Paru-paru

Oleh Che Wan Aminud-din Hashim

APABILA seseorang mempunyai gejala yang memungkinkan mereka menghidap kanser paru-paru, segera ke hospital atau klinik untuk mendapatkan nasihat doktor. Tambahan pula, jika pesakit berisiko tinggi berdasarkan faktor usia dan tabiat merokok. Yang penting, kanser dapat dikesan awal. Hal ini demikian kerana kemungkinan penyakit dapat dirawat dan pesakit sembuh sepenuhnya, lebih tinggi.

Ujian yang biasanya dilakukan untuk mengesan kanser termasuklah ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan termasuklah sinar-X dan imbasan CT (tomografi komputer). Untuk memastikan jenis ketumbuhan pula, tisu atau sel yang berasal daripada ketumbuhan kanser perlu diuji di makmal.

Bukan semua ujian perlu dilakukan ke atas seseorang pesakit. Doktor akan menasihatkan pesakit mengenai ujian yang perlu dilakukan dan yang perlu didahulukan. Pesakit boleh mendapatkan semua maklumat mengenai ujian yang akan dilakukan termasuklah tatacara ujian dan risiko yang mungkin ada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Februari 2012

Posted in: Fitokimia

Hantar Maklum Balas Anda