Nilai Perubatan Gamat

GAMAT terkenal sebagai sumber dalam perubatan tradisional. Sebanyak 2500 spesies gamat terdapat di seluruh dunia, dan 37 spesies hidup di perairan negara ini. Tujuh spesies gamat yang dikenal pasti mempunyai nilai perubatan ialah Stichopus variegatus, Stichopus vastus, Stichopus hermanii, Stichopus horrens, Stichopus chloronotus, Isostichopus badionotus dan Thelenota ananas.
Keberkesanan gamat dalam merawat pelbagai penyakit menjadi tarikan kepada pengusaha perubatan tradisional untuk mengkomersialkan produk spesies timun laut ini dengan lebih meluas. Tangkapan gamat oleh nelayan pula semakin agresif kerana nilai perubatan.
Pada tahun 2000, Persidangan Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (CITES) telah mengkategorikan gamat sebagai spesies terancam dan pupus sekiranya berterusan dieksploitasikan.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Profesor Madya Dr. Farid Che Ghazali daripada Universiti Sains Malaysia mencipta kaedah menternak gamat menggunakan pembiakan secara tiruan atau teknologi penetasan. Kaedah yang dicipta oleh anak tempatan ini merupakan yang pertama di dunia untuk menghasilkan benih gamat dalam persekitaran tukun tiruan yang mirip dengan proses sebenar pembiakan gamat. Penternakan gamat secara tiruan ini dapat meminimumkan tangkapan dan kebergantungan pengambilan gamat dari habitat asalnya.
Profesor Madya Dr. Farid turut mencipta cecair daripada gamat yang berkesan menyembuhkan luka dengan cepat. Ciptaan inovatif beliau yang dinamakan My.StichoGAG diaplikasikan secara titisan topikal pada luka. Agen penyembuhan luka ini mengandungi komponen bioaktif glikosaminoglikans trisulfat serta melalui pengenalpastian proses taksonomi yang berkesan.
Ciptaan inovatif agen penyembuhan luka dan teknologi penetasan gamat oleh Dr. Farid merupakan contoh kejayaan sains dalam menangani masalah kepupusan sebarang spesies yang mempunyai nilai perubatan, di samping memberikan nilai perubatan yang tinggi untuk kesejahteraan manusia.
- Norizan Muslim
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mac 2012.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda